PASIR PUTEH 17 Nov. – Kerajaan Pas Kelantan menyokong langkah Kerajaan Persekutuan merealisasikan Pelan Hala Tuju Sifar Penggunaan Plastik Pakai Buang 2018-2030 demi kelestarian alam dari ancaman kotoran dan sisa pejal.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Negeri Kelantan, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail, berkata pelan tindakan tersebut merupakan salah satu langkah menangani isu pencemaran yang memerlukan kempen kesedaran di peringkat akar umbi.
Menurutnya, kempen kesedaran itu juga perlu melibatkan pihak industri supaya mereka dapat mengenal pasti dan mengeluarkan produk mesra alam bagi menggantikan penggunaan plastik pakai buang.
“Langkah positif termasuk mengurang dan menghentikan penggunaan straw di negeri ini juga akan turut dikaji,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Alam Hijau Sejahtera Kelantan sempena Hari Alam Sekitar Negara peringkat negeri di Kampung Tasek Pauh Selising, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan, Hamzah Mohamad
Sebanyak 37,000 benih anak ikan dan udang galah dilepaskan di Sungai Tasik Pauh selain 100 anak pokok buah-buahan ditanam di sepanjang sungai berkenaan.
Tuan Mohd. Saripudin yang mewakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub dalam pada itu berkata, Kelantan juga memperkenalkan program kitar semula barangan eletronik sebagai nilai tambah kepada pelaksanaan kempen nyahguna barangan plastik.
“Kita tidak mahu barangan ini terbuang di merata tempat kerana ia masih boleh dikitar semula mengikut keperluan industri tertentu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










