KOTA BHARU 26 Nov. – Kelantan merupakan negeri terbesar menggunakan air bawah tanah bagi kegunaan domestik dan industri iaitu sebanyak 214 juta liter sehari (JLH) berbanding penggunaan 254 JLH di seluruh negara.
Data Malaysian Water Industry Guide (MWIG) 2017 terbitan Malaysian Water Association (MWA) menunjukkan pada 2016, penggunaan air bawah tanah di negeri ini sebanyak 84.25 peratus daripada jumlah keseluruhan di Malaysia.
Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), Ir Mohd. Safrurazi Salleh berkata, pencapaian tersebut melayakkan AKSB mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai operator air bawah tanah terbesar.
Sijil pengiktirafan telah disampaikan wakil MBOR, Edwin Yeoh kepada Pengurus Besar AKSB, Ir Wan Mohd. Zamri Wan Ismail dalam majlis Persidangan dan Pameran Malaysian Water Engineers Action Committee (MyWAC) Kali Ke-31 di sini hari ini.
Program itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Utiliti negeri yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB, Datuk Sr Azami Mohd. Nor.
Sementara itu, Mohd. Safrurazi berkata, sejarah penggunaan air bawah tanah untuk tujuan bekalan air bersih kepada rakyat telah bermula seawal 1940-an lagi dengan terbinanya telaga terbuka di Loji Rawatan Air Kampung Puteh di sini yang telah menjangkau usia 60 tahun.
Jelasnya, antara punca menyebabkan alternatif sumber air mentah selain air sungai dicari adalah kerana faktor kemarau dan pencemaran air sungai yang semakin teruk terutamanya disebabkan projek penanaman semula.
“Teknologi penggunaan air bawah tanah dipertingkatkan dengan menggunakan telaga jejari sejak 2009 bermula di daerah Jeli yang dapat mengeluarkan kadar air mentah jauh lebih banyak daripada kaedah telaga tiub,” ujarnya.










