KUALA LUMPUR 26 Nov. – Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan kejayaan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean di Siri Jelajah Dunia 300 di Lucknow, semalam sebagai permulaan yang baik terutama menjelang aksi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula Mei tahun hadapan.
Beliau berkata, pencapaian mereka itu adalah sesuatu yang positif dan membuktikan mereka tidak pernah putus asa untuk meraih kejuaraan sejak mula bergandingan pada 2016.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan gandingan itu supaya terus bekerja keras dan kekal konsisten untuk memburu lebih banyak kejayaan selepas ini.
“Saya gembira dengan pencapaian mereka ini tetapi saya harap mereka tidak cepat puas hati kerana masih banyak lagi cabaran menanti mereka terutama daripada pasangan dunia lain dari China, Jepun dan Indonesia.
“Kejayaan Vivian (Hoo)-Yap (Cheng Wen) di Macau sebelum ini juga adalah petanda positif untuk skuad beregu wanita negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Gandingan Mei Kuan-Meng Yean menundukkan pasangan India, Ashwini Ponnappa-N. Sikki Reddy 21-15, 21-13 untuk merangkul kejuaraan pertama mereka dalam kejohanan bertaraf ‘tiga bintang’.
Mei Kuan-Meng Yean yang menghuni ranking ke-19 sebelum ini gagal merangkul kejuaraan pertama mereka di Rusia selepas tewas dalam aksi final dan kejayaan semalam adalah permulaan positif bagi merealisasikan impian mereka layak ke Sukan Olimpik 2020.
Mohamad Norza juga memberikan pujian kepada ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak selepas berjaya mewujudkan gandingan cemerlang meskipun beberapa pemain di bawah kendaliannya mengalami kecederaan sebelum ini termasuk Meng Yean dan Woon Khe Wei.
“Saya gembira dengan percaturan Rosman yang sebelum ini meletakkan kepercayaan kepada Vivian-Cheng Wen dan Mei Kuan-Meng Yean untuk diketengahkan selepas banyak pemain mengalami kecederaan.
“Jelas kelihatan ada kemajuan ditunjukkan pasangan ini,” katanya.










