Kawal pembangunan cegah banjir - Utusan Malaysia

Kawal pembangunan cegah banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Melihat pada pemba­ngunan yang semakin rancak di sekitar ibu kota, tidak mustahil bandar raya ini akan lumpuh ditenggelami banjir suatu hari nanti.

Jika dihitung kekerapan banjir kilat yang berlaku sekarang berbanding 10 tahun lalu, warga kota pasti dapat meramal risiko yang bakal dihadapi pada tahun-tahun mendatang.

Bagi yang tinggal atau bekerja dalam radius pembangunan yang pesat itu, kebarangkalian untuk terperangkap dalam bencana adalah sesuatu yang pasti.

Namun tindakan pihak ber­kuasa yang sering meletakkan masalah itu sebagai bencana alam semata-maya ibarat me­nuding jari ke langit sedangkan apa yang berlaku adalah ‘bencana buatan manusia’.

Walaupun keadaan setiap kali berlaku banjir masih terkawal dan surut dalam beberapa jam, usaha yang perlu difikirkan adalah untuk mengatasi masalah itu daripada berlaku.

Mungkin kesannya hanya nampak kritikal apabila menyebabkan kesesakan lalu lintas berskala besar. Namun, usah dipandang remeh banjir kilat yang kerap berlaku di Kampung Baru sejak kebelakangan ini.

Jika langkah sepa­tuhnya tidak diambil, tidak mustahil kita akan melihat satu ben­cana yang jauh lebih teruk.

Utusan Malaysia menghubungi bekas Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Tan Sri Lee Lam Thye untuk mendapatkan pandangan mengenai banjir yang semakin kerap berlaku di ibu kota.

Beliau berkata, masalah utama mungkin kerana kegagalan pengurusan sistem saliran dan perparitan yang menyebabkan longkang dan sungai tersumbat.

Keadaan itu kata­nya, dike­ruhkan lagi dengan si­kap pemaju yang ti­dak menguruskan tapak pembinaan secara berhemah dan membuang sisa-sisa pembinaan ke dalam longkang sehingga me­ngganggu aliran sungai.

“Misalnya, perangkap kelodak yang dibina di tapak projek tidak diselengara dengan baik mengakibatkan mendapan berlaku sehingga menghalang saliran air berdekatan.

“Inilah antara penyebab utama banjir kilat yang kerap berulang setiap kali hujan lebat seperti yang berlaku di tero­wong Jalan Tun Razak menuju ke tempat letak kenderaan di KLCC.

“Tindakan drastik perlu diambil untuk mengelakkan lebih banyak kerosakan kediaman dan bangunan komersial pada masa akan datang,” katanya.

lee Lam Thye
LEE LAM THYE

Sehubungan itu, Lam Thye menasihati pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang tidak bertanggungjawab serta kurang mengambil perhatian terhadap perlindungan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

“Lebih banyak pemantauan tapak pembinaan perlu dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan untuk memastikan pematuhan kepada Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×