JOHOR BAHRU 19 Nov. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi menahan sebuah kapal tangki kerana membawa sisa minyak atau barang buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Alam Sekitar semalam.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kapten (M) Mohd. Zulfadli Nayan berkata, kapal tangki itu ditahan pukul 2 petang oleh bot peronda agensi itu setelah dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira 22.22 kilometer timur Tanjung Lompat, Desaru.
“Setelah diperiksa, kapal tersebut didapati membawa sisa minyak atau barang buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Alam Sekitar.
“Ketika ditahan dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu, kapal yang berdaftar di Belize, Amerika Tengah tersebut sedang membawa empat kru warga Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











