Kanak-kanak menyantuni warga emas - Utusan Malaysia

Kanak-kanak menyantuni warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANAK-KANAK dari awal usia sudah sepatutnya dididik supaya menghormati dan menyayangi golongan yang lebih tua seperti ibu bapa dan datuk serta nenek.

Ini penting supaya mereka membesar dengan perasaan penuh kasih sayang dan tidak mengetepikan golongan tua apabila dewasa kelak.

Bagi memupuk sifat kasih sayang dan keprihatinan generasi muda terhadap golongan tua, baru-baru ini seramai 135 orang kanak-kanak dari 14 buah tadika di sekitar Lembah Klang telah dibawa melawat ke Pusat Jagaan Warga Emas Seri Kenangan di Jalan Cheras, Kajang, Selangor dalam program Jalinan Mahabbah.

Lawatan yang dianjurkan oleh Tadika Al Baghdadi Playtime Center (APC) turut disertai 30 orang guru pengiring bagi memberi peluang kepada anak-anak kecil tersebut beramah mesra dengan seramai 170 orang penghuni pusat jagaan itu.

Mereka bersama-sama memotong kek, menyuapkan kek kepada penghuni, menyanyi dan melakukan aktiviti seni membuat kolaj.

Ini sedikit sebanyak dapat menghiburkan penghuni pusat jagaan ini yang mungkin merindui cucu-cucu mereka yang telah lama tidak berjumpa.

Dalam lawatan berkenaan, pengeluar susu segar Farm Fresh turut turun padang menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, dengan menyumbangkan wang tunai berjumlah RM500 dan produk susu segar UHT perisa kurma serta yogurt buah-buahan kepada penghuni pusat jagaan warga emas itu dan kanak-kanak tadika yang terlibat.

Farm Fresh juga mahu mewujudkan generasi muda Farm Fresh yang menyayangi dan menghormati warga emas serta membantu mereka dalam kehidupan harian.

Oleh itu, anak-anak juga perlulah dibimbing sejak dari kecil supaya menyayangi ibu bapa dan orang yang lebih tua melalui pendidikan di sekolah dan di rumah.

RASA BERSYUKUR

Pengarah Program Jalinan Mahabbah, Fadlina Abdul Mubin berkata, lawatan itu juga bertujuan bagi menanamkan rasa bersyukur dalam kalangan kanak-kanak atas segala nikmat yang telah dikurniakan.

“Mereka mungkin akan tertanya-tanya mengapa ‘atuk’ dan ‘nenek’ ini tinggal di pusat jagaan ini dan mengapa tidak tinggal bersama-sama keluarga.

“Ada kanak-kanak yang terlalu mesra dengan penghuni di sini dan mereka spontan mencium pipi dan memeluk seolah-olah penghuni tersebut adalah atuk dan nenek mereka.

“Peranan guru juga penting dalam memupuk kanak-kanak supaya lebih bersifat penyayang, prihatin dan bertanggungjawab selain memberi peluang kepada mereka melibatkan diri secara aktif dalam kerja kebajikan.

“Dalam program yang pertama kali diadakan ini, kami memilih pusat jagaan warga emas dengan tujuan mendidik mereka menyantuni orang yang lebih tua. Jika nilai-nilai murni ini tidak diterap awal sejak usia muda, dikhuatiri sikap hormat mereka terhadap orang lebih tua akan berkurangan,” katanya semasa ditemui pada majlis tersebut.

Fadlina menambah, aktiviti ramah mesra yang dijalankan ini dapat memberikan pengalaman menarik dan banyak faedah kepada kanak-kanak tadika.

Program ini juga diharap dapat menggembirakan golongan warga emas yang kesunyian dengan aktiviti yang menceriakan, di samping mengeratkan hubungan silaturahim.

Ujarnya, walaupun aktiviti seni membuat tampalan bagi menghasilkan gambar sesuai bagi kanak-kanak, sebenarnya ia juga mampu membantu warga emas ini merangsang saraf sensori dan motor halus terutama pada tangan mereka.

Ini kerana jelas Fadlina, pada usia yang meningkat, warga emas umpama kembali ke zaman kanak-kanak apabila mereka semakin lemah dalam penguasaan pelbagai kemahiran termasuk penglihatan, koordinasi tangan dan kawalan badan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Operasi Farm Fresh Sdn Bhd, Azmi Zainal berkata, aktiviti berkenaan adalah sebahagian daripada kempen minum susu yang bertujuan menyebarkan khasiat susu dan mendidik mengenai cara pengambilan susu yang betul.

“Dalam program kali ini, kami melibatkan dua golongan penting yang amat memerlukan khasiat susu, iaitu kanak-kanak bagi tumbesaran manakala warga emas bagi melengkapkan keperluan nutrien mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN