KUALA LUMPUR 19 Nov. – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah kem di Setapak di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa yang juga anak kepada seorang anggota tentera dikatakan terjatuh ketika bermain bersama rakan-rakannya di tingkat tiga bangunan tersebut.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 3.13 petang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nakhoda Batu Caves hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Noor Azmi Yusoff ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Maklumat lanjut berhubung kejadian ini akan dimaklumkan kemudian selepas siasatan lanjut dilakukan,” katanya.-UTUSAN ONLINE











