KOTA TINGGI 26 Nov. – Rombongan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2018 diketuai Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar singgah di Kampung Temenin Baru di sini sebagai destinasi pertama bagi edisi kali ini.
Sultan Ibrahim bersama-sama keluarga dan kerabat Diraja Johor tiba pada pukul 8.50 pagi dengan menaiki Morgan – kereta klasik beroda tiga.
Di Kampung Temenin Baru, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan turut serta dengan rakyat jelata mengacau dodol.
Baginda juga berkenan menyempurnakan majlis cukur jambul tujuh bayi bertuah di kampung berkenaan.
Selain itu, turut diadakan pameran produk inap desa Kampung Temenin Baru, demonstrasi membakar lemang dan persembahan penduduk setempat.
Rombongan KMJ 2018 seterusnya bergerak menuju ke Kampung Felda Air Tawar 3 selepas kira-kira 30 minit berada di Kampung Temenin Baru.
KMJ 2018 membuka tirai dengan menyaksikan Sultan Johor berkenan menjelajah semua daerah di negeri ini, dengan melibatkan perjalanan sejauh 777 kilometer.
Kembara yang sudah memasuki edisi ke-21 itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Hari pertama KMJ 2018 menyaksikan perjalanan kembara sejauh 270 kilometer yang bermula di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.










