URIN 27 Nov. – Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri memberi amaran kepada pemainnya agar tidak mempamerkan aksi seperti menentang Manchester United apabila mereka bakal menerima kunjungan Valencia dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara awal pagi esok (waktu Malaysia). Pertemuan di antara juara Itali dan kelab Sepanyol itu bakal menyaksikan keputusan seri sudah cukup memadai untuk memastikan peluang Valencia ke peringkat kalah mati terus hidup. Valencia tumpas 0-2 kepada Juve dalam aksi pertama mereka di laman sendiri walaupun skuad kendalian Allegri beraksi dengan 10 pemain apabila Cristiano Ronaldo diarah keluar padang selepas 30 minit permainan bermula. Bagaimanapun, Allegri menegaskan Valencia adalah pasukan berbeza dan menjadi ancaman kepada kelabnya untuk memenangi semua perlawanan pada musim ini termasuk Liga Juara-Juara selepas kali terakhir menjuarainya pada 1995. “Dalam Liga Juara-Juara, anda perlu mengambil perlawanan satu demi satu. Kami perlu memecah kebuntuan esok dan cuba untuk mendapatkan tempat teratas dalam kumpulan. “Kami menentang pasukan yang baru tewas sekali dalam 10 perlawanan mereka. “Kami perlu berwaspada dan tidak hilang fokus terutamanya dalam tempoh 10 minit ketika menentang Manchester United. Perkara seperti ini boleh berlaku namun kami tidak akan mengulangi kesilapan seperti itu lagi. “Saya tidak bimbang namun saya mahu pasukan menghormati Valencia dan apa yang pasti kami akan memenangi perlawanann ini,” katanya. Juventus terpaksa berputih mata apabila gawang mereka dibolosi pada saat akhir menerusi jaringan sendiri Leonardo Bonucci sekali gus menyebabkan tumpas 1-2 kepada United pada 8 November lalu. – AFP










