KUALA LUMPUR 27 Nov. – Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) mengunjurkan jualan runcit berkembang sekitar lima peratus pada 2019, sejajar dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Presiden MRCA, Datuk Seri Garry Chua berkata, pertumbuhan jualan runcit bagi 2018 pula dijangka pada 4.9 peratus berdasarkan kaji selidik yang dijalankan persatuan bersama Stratos Consulting Group Sdn. Bhd.
Katanya, jualan runcit dijangka kekal stabil untuk tahun ini dan akan terus tumbuh sedikit pada 2019 disokong oleh jangkaan kukuh suku keempat tahun ini pada 6.1 peratus.
“Ini berlaku meskipun pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada September lalu, kerana cuti sekolah dan musim perayaan akhir tahun akan memacu perbelanjaan pengguna,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan keputusan runcit Malaysia pada suku ketiga 2018 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden MRCA, Datuk Vincent Choo dan Naib Presiden persatuan itu, Datuk Liew Bin.
Menurut Chua, berdasarkan kajian itu juga, jualan runcit berkembang secara purata 5.7 peratus pada suku pertama 2018 disumbangkan oleh jualan dan promosi Tahun Baharu Cina.
“Pada suku kedua 2018, pertumbuhan berkembang perlahan pada 2.1 peratus tahun ke tahun, terjejas terutama disebabkan oleh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu apabila pelanggan kurang berbelanja kerana ketidaktentuan ekonomi.
“Sementara itu, pada suku ketiga 2018, cuti cukai antara Jun hingga Ogos telah menggalakkan perbelanjaan pengguna dengan jualan runcit merekodkan pertumbuhan sebanyak 5.7 peratus,” katanya.
Chua berkata, jualan mengikut subsektor adalah bercampur-campur dengan sebahagian besar peruncit menerima manfaat daripada tempoh tiga bulan cuti cukai.
“Dengan kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST), pengguna mempunyai kuasa membeli yang lebih tinggi dan lebih cenderung untuk berbelanja terutama dalam produk nilai tinggi seperti kereta,” katanya.
Tambah beliau, sektor makanan dan minuman (F&B), kesihatan dan kecantikan dan lain-lain melaporkan kadar pertumbuhan yang menggalakkan masing-masing pada 5.4 peratus, 3.1 peratus dan 21.3 peratus.
“Bagaimanapun, peruncit fesyen mengalami pertumbuhan bagi suku kedua dan ketiga pada 2.2 peratus dan 2.8 peratus.
“Ini mungkin berkait rapat dengan cuti cukai kerana pengguna lebih cenderung untuk berbelanja produk yang bernilai tinggi daripada membeli pakaian,” katanya.










