KANGAR 27 Nov. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengesan trend kegilaan sekumpulan belia di negeri itu sejak kebelakangan ini untuk mengubah suai ekzos motosikal mereka sehingga boleh mengeluarkan api dan berbunyi bising.
Sehubungan itu, Pengarahnya, Shahrul Azhar Md. Dali mengingatkan golongan tersebut supaya berhenti melakukan perbuatan itu kerana merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, dalam operasi dijalankan di tiga buah bengkel di Jalan Seriab, Beseri dan Arau yang menjadi tumpuan ramai semalam, sebanyak 15 buah motosikal dikesan sedang melakukan pengubahsuaian berkenaan.
“Pengubahsuaian motosikal ini hanyalah melibatkan jenis Yamaha 15ZR berkuasa 150cc dan dikatakan pemiliknya sanggup mengeluarkan wang sehingga RM500 untuk tujuan itu.
“Buat masa ini, kita mengambil langkah menasihati pemilik bengkel dan motosikal terlibat supaya menghentikan pengubahsuaian itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Shahrul Azhar seterusnya menegaskan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas termasuk bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kangar (MPKps) bagi menyita premis terlibat jika masih berdegil.
“Kita juga telah mengeluarkan notis kepada semua pemilik motosikal terlibat supaya mengubah kenderaan mereka kepada yang asal sebelum boleh membayar kompaun ditetapkan,” ujar beliau.
Difahamkan, berdasarkan risikan, ekzos motosikal berkenaan perlu ditempah pemilik bengkel sebelum dipasang di premis terlibat dengan beberapa pengubahsuaian di bahagian enjin.
Dalam pada itu, berdasarkan status Facebook yang dimuat naik jabatan tersebut semalam, pelbagai pihak menyambut baik tindakan proaktif dilakukan oleh agensi berkenaan kerana jika tidak, ia boleh menganggu ketenteraman penduduk. – UTUSAN ONLINE










