Jin Wei julang nama Malaysia - Utusan Malaysia

Jin Wei julang nama Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMAIN perseorangan No. 1 negara, Goh Jin Wei meng­akhiri statusnya sebagai pemain remaja pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2018 di Markham, Kanada semalam dengan gelaran kejuaraan kedua peribadi selepas memenanginya pada 2015.

Pemain berusia 18 tahun itu dinobatkan selaku juara apabila menundukkan pemain Denmark, Line Christophersen 21-13, 21-11.

Menurut Jin Wei, selepas menyempurnakan tanggungjawab dengan baik dalam peringkat junior, dia akan berusaha keras untuk mencipta kejayaan pada peringkat lebih tinggi, ter­utamanya pada kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

“Walaupun aksi ini nampak mudah tetapi ia sebenarnya sa­ngat sukar. Saya gembira kerana dapat meraih gelaran juara buat kali kedua yang mana ia adalah aksi terakhir saya pada kejohanan ini.

“Saya akan terus bekerja keras dan memberi fokus kepada saingan musim depan khususnya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020,” ujarnya.

Pada 2015, pemain kelahiran Pulau Pinang itu muncul sebagai pemain remaja wanita pertama negara yang meraih gelaran juara dunia di Lima, Peru de­ngan menewaskan rakan se­negara, Lee Ying Ying 21-15, 21-16.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu sebelum ini menerima suntikan motivasi apabila muncul sebagai atlet pertama negara yang meraih emas kejohanan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, Argentina bulan lalu.

Bekas pemain perseorangan negara, Zulfadli Zulkiffli juga pernah mencipta nama selaku juara remaja dunia bagi acara perseorangan lelaki pada 2011, manakala pasangan beregu, Nelson Heg-Teo Ee Yi menjadi juara dunia pada tahun yang sama.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihak­nya bakal menghadiahkan ganjaran setimpal dengan pencapaian Jin Wei yang mana ia bakal diputuskan pada mesyuarat badan induk badminton berkenaan minggu ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN