Janji PTPTN; ‘Tidak mahu menang sorak, kampung tergadai’ - Wan Saiful - Utusan Malaysia

Janji PTPTN; ‘Tidak mahu menang sorak, kampung tergadai’ – Wan Saiful

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 17 Nov. – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan sekali lagi menegaskan bahawa mereka tidak mampu menunaikan janji berkaitan penangguhan bayaran balik pinjaman bagi peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan seperti yang diumumkan dalam manifesto Pakatan Harapan sebelum pilihan raya lalu.

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan 

Beliau berkata, pihaknya menghormati pandangan dan desakan pelbagai pihak namun perkara yang diakui tidak mampu itu perlu dinyatakan termasuk dengan memohon maaf supaya tidak menimbulkan masalah di kemudian hari.

“Kita menghargai semua pandangan dan desakan. Secara prinsipnya janji tangguhkan bayaran bagi mereka yang bergaji di bawah RM4,000 memang kita tidak mampu.

“Kita kena timbangkan keinginan untuk membantu seramai mungkin pada tahun ini, atau keinginan membantu seramai mungkin pada tahun-tahun akan datang.

“Jangan nanti kita menang sorak kampung tergadai apabila kita laksanakan janji (penangguhan bayaran balik bagi peminjam bergaji bawah RM4,000) tahun depan tetapi pada tahun seterusnya PTPTN terpaksa ditutup,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Pendidikan Kerjaya 2008 di perpustakaan Kolej Matrikulasi Arau di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan  Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang menuntut janji kerajaan berkenaan PTPTN.

Perwakilan AMK Pulau Pinang, Fahmi Zainur yang membangkitkan perkara itu semasa Konvensyen Nasional AMK dan Wanita PKR di Shah Alam, Selangor semalam dilaporkan berkata, dalam isu PTPTN, janji kerajaan ternyata berbeza dengan apa yang ditawarkan dalam manifesto Pakatan Harapan.

Sebelum ini, Wan Saiful yang juga penulis Buku Harapan telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak dapat menunaikan janji berkaitan penangguhan bayaran balik pinjaman bagi mereka yang bergaji bulanan bawah RM4,000 seperti yang diumumkan dalam manifesto Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, jumlah bayaran balik peminjam  PTPTN nanti akan ditentukan oleh Kabinet dan beliau percaya bukan bermula daripada gaji RM1,000.

Sementara itu, Wan Saiful yang juga
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau yakin beberapa janji besar Pakatan Harapan seperti pemansuhan tol dan penurunan harga minyak dapat dilaksanakan apabila kerajaan sudah mempunyai dana yang cukup.

“Apa yang mampu kita buat, kita akan usaha laksanakan dan yang mana tidak mampu buat seperti janji PTPTN itu, kita mohon maaf.” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN