KUALA LUMPUR 27 Nov. – Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran akan melawat Kuil Maha Mariammam, USJ 25 Subang Jaya dekat sini selewat-lewatnya petang ini susulan insiden rusuhan yang berlaku malam tadi di kawasan kuil tersebut.
Menurut Kula Segaran, ketika ini, beliau mahu orang ramai yang berada di kawasan berhampiran kuil tersebut bertenang dan tidak melakukan sebarang tindakan mengikut emosi.
“Saya sedia maklum mengenai insiden rusuhan yang berlaku awal pagi tadi dan sedang mengatur jadual untuk melawat kuil berkenaan.
“Apa pun hormati undang-undang, biar polis melakukan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Awal pagi tadi, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera manakala jentera dinaiki turut mengalami kerosakan akibat diserang kumpulan perusuh yang berhimpun di sekitar kawasan kuil tersebut.-UTUSAN ONLINE










