Jaminan Menteri Belia dan Sukan - Utusan Malaysia

Jaminan Menteri Belia dan Sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA istilah anak tiri dalam urusan peruntukan bajet Ke­menterian Belia dan Sukan (KBS) sebanyak RM100 juta untuk diagihkan kepada pembangunan persatuan-persatuan sukan yang akan diumumkan pertengahan Disember nanti.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi jaminan bahawa sukan yang tidak terlibat dalam temasya Olimpik 2020 juga akan diberi peruntukan sewajarnya biarpun diletakkan dalam tier (kelas) berbeza.

Tambahnya, persatuan-persatuan sukan tidak berstatus Olimpik seperti boling dan skuasy tidak perlu khuatir dengan nasib sukan itu memandangkan kejayaan mereka me­lahirkan juara dunia akan turut diambil kira.

“Seperti yang saya tekankan, sukan yang tidak ada dalam Olimpik tidak akan dianak tirikan dan tetap akan gerak ke hadapan bersama sukan-sukan yang terlibat dalam temasya terbesar itu.

“Sebagai contoh, skuasy dan boling yang bukan sahaja menyumbangkan banyak pingat kepada negara, malah melahirkan juara dunia. Status juara dunia sama taraf dengan Olimpik.

“Justeru, kami akan berikan pengiktirafan yang sama walaupun mereka diletakkan dalam tier yang berbeza,” 
katanya pada sidang akhbar majlis penutup Bengkel Penetapan Program Latihan 2019 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Selain itu, Syed Saddiq turut menyarankan persatuan-persatuan sukan untuk mencari penajaan serta dana tambahan daripada sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menambahkan peruntukan.

“KBS dalam proses untuk menggerakkan semula program Rakan Sukan yang mana kerajaan akan memacu perubahan dalam membantu mendapatkan dana tambahan daripada syarikat swasta atau GLC.

“Saya akan berjumpa dengan beberapa tokoh syarikat swasta untuk membincangkan perkara ini dan akan dibangkitkan untuk perhatian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya.

Sebagai rekod, Belanjawan 2019 menyaksikan peruntukan RM1 bilion diberikan kepada KBS yang tidak hanya menyasarkan bidang sukan sahaja tetapi turut merangkumi agihan kepada pembangunan belia.

Syed Saddiq sebelum ini memberitahu, daripada jumlah itu, RM100 juta diperuntukkan untuk persiapan atlet ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, manakala RM10 juta khusus kepada pembangunan e-Sukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN