Jalan tutup di Batu Pahat - Utusan Malaysia

Jalan tutup di Batu Pahat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT 17 Nov. – Beberapa batang jalan di bandar ini akan ditutup sementara kepada semua lalu lintas sempena Perarakan Sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah pada Selasa ini.

Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Razali Mohd. Tahir berkata, penutupan jalan sepanjang kira-kira 1.5 kilometer itu akan bermula pada pukul 6.45 pagi sehingga selewat-lewatnya pukul 12 tengah hari.

Menurutnya, antara jalan yang terlibat dalam perarakan berkenaan adalah Jalan Zabedah, Jalan Bakau Condong dan Jalan Perak yang juga akan ditutup sementara pada Isnin bagi memberi laluan kepada raptai perarakan itu.

“Sehubungan itu, semua jalan lain yang berkaitan dengan laluan utama perarakan akan dibuat lencongan seperti pengguna dari Jalan Sultanah tidak dibenarkan membelok ke kiri untuk ke Jalan Zabedah.

“Penutupan persimpangan lain yang berkaitan dengan laluan utama turut melibatkan Jalan Pegawai; Jalan Omar; Jalan Penghulu Majid; Jalan Punai Siam; Jalan Lorong Lima; Jalan Lorong Tiga; Jalan Ungku Ahmad dan Jalan Halia,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Tambah Razali, sepanjang Jalan Bakau Condong yang bermula dari simpang Jalan Kluang ke Jalan Bukit Pasir akan ditutup sepenuhnya ketika perarakan itu berlangsung, selain Jalan Perak dan Jalan Suasa yang merupakan lokasi peserta berkumpul setelah selesai perarakan.

Kata beliau lagi, bagi memudahkan orang ramai dan peserta perarakan meletak kenderaan masing-masing, beberapa lokasi telah ditetapkan iaitu kawasan Pejabat Daerah Batu Pahat; kawasan Tapak Pesta; Summit Parade; The Store dan Wisma Sin Long.

“Pengguna dan orang ramai yang ingin hadir ke program ini dinasihatkan hadir ke lokasi lebih awal bagi mengelak kesesakan dan tidak menganggu kawasan penutupan jalan. Mereka juga boleh melihat Facebook Polis Daerah Batu Pahat untuk melihat lencongan-lencongan yang ditetapkan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN