Isu remeh punca perceraian - Utusan Malaysia

Isu remeh punca perceraian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Isteri yang suka mengikuti rombongan beramai-ramai, membasuh baju pada waktu malam, berebut rancangan tele­visyen dan suka makan dalam kereta antara punca berlakunya penceraian dalam kalangan pasangan muda.

Timbalan Menteri Pembangu­nan Wanita, Keluarga dan Ma­syarakat, Hannah Yeoh berkata, berdasarkan laporan sebuah portal berita yang memetik Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, kebanyakan kes penceraian yang difailkan oleh pasangan itu adalah atas faktor yang remeh.

HANNAH YEOH
HANNAH YEOH 

“Antara punca mereka memfailkan penceraian adalah kerana isteri suka mengikuti rombongan beramai-ramai, isteri suka membasuh baju pada waktu malam dan suami tidak suka isteri makan di dalam kereta, perbezaan fahaman politik, gaji suami lebih rendah, pasangan tidur berdengkur dan gemar membeli-belah.

“Saya bacakan perkara ini kerana mahu menunjukkan isu penceraian sangat serius kerana perkara remeh digunakan sebagai sebab untuk memfailkan penceraian,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah kes penceraian direkodkan oleh pasangan di bawah usia perkahwinan lima tahun dan punca dikenal pasti mendorong kepada penceraian.

Mengulas lanjut, Hannah ber­kata, sebanyak 2,932 kes percerai­an di bawah usia perkahwinan lima tahun bagi orang Islam di Wilayah Persekutuan termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan direkodkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 2013 hingga tahun lalu.

Katanya, bagi bukan Islam pu­la, sebanyak 14,440 kes direkodkan bagi tempoh sama berdasarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Dalam tempoh berkenaan, Johor mencatatkan jumlah ter­tinggi iaitu 2,860 kes diikuti Kuala Lumpur (2,721 kes) dan Sela­ngor (1,858 kes),” katanya.

Dalam pada itu, Hannah berkata, berdasarkan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2014 menunjukkan lebih satu pertiga perkahwinan pertama yang berakhir dengan perceraian atau perpisahan berlaku dalam tempoh lima tahun pertama usia perkahwinan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN