Islam titikberatkan hubungan harmoni, tolak permusuhan - Utusan Malaysia

Islam titikberatkan hubungan harmoni, tolak permusuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 19 Nov. – Islam adalah agama yang membawa rahmat serta menitikberatkan hubungan harmoni dalam keluarga, masyarakat mahupun negara.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, agama itu menyeru kepada keselamatan dan kesejahteraan dengan akhlak, sikap dan ucapan yang baik serta menolak segala bentuk permusuhan, kebencian dan hasutan.

“Ini kerana Allah menjadikan manusia di atas muka bumi ini terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan,” katanya ketika berucap dalam Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Negeri di sini malam tadi.

Yang turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Zulkefly Mohamad Omar; Setiausaha Kerajaan negeri, Dr. Razali Ab. Malik dan Mufti negeri, Datuk Mohd. Yusof Ahmad.

Aminuddin berkata, sambutan Maulidur Rasul yang diadakan bertujuan memperbaharui azam untuk mengembangkan dan meningkatkan syiar Islam dan menghayati sejarah serta pengorbanan Nabi Muhammad SAW.

Jelasnya, sesuai dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’, umat Islam diajak untuk menumpukan segala daya dan usaha bagi menyantuni mereka yang berada di sekeliling mereka.

“Santunilah ahli kelurga kita dengan penuh kasih sayang. Yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita rapatkan lagi. Dengan jiran tetangga pula, hendaklah berbuat baik, tunaikan hak-hak mereka serta penuhi keperluan mereka jika mereka dalam kesusahan.

“Dalam masa yang sama, santuni anak-anak yatim, orang miskin dan mereka yang ditimpa kesusahan. Sikap suka mengambil berat antara satu sama lain adalah sebahagian daripada contoh akhlak terpuji,” katanya.

Ujarnya, sebagai agama yang menganjurkan perdamaian dan kasih sayang, umat Islam hendaklah berazam menyebarkan dakwah kepada bukan Muslim dengan mengajak mereka berdialog mengenai agama, menunjukkan contoh akhlak Islam, berbuat adil dan kebaikan serta menjauhi perbuatan zalim. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×