Insiden ngeri Florsch pada GP Macau - Utusan Malaysia

Insiden ngeri Florsch pada GP Macau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACAU – Pelumba Formula Tiga (F3), Sophia Florsch terselamat da­lam insiden kemalangan ngeri pada perlumbaan Grand Prix (GP) Macau selepas jentera dipacunya terbang ke udara hingga menyebabkan kecederaan kepada dua jurugambar dan seorang marshal di luar litar.

Pada perlumbaan itu, pelumba pasukan Van Amersfoort Racing berusia 17 tahun itu sedang memecut laju sebelum dikatakan melanggar jentera Jehan Daruvala di laluan lurus.

Insiden itu juga menyebabkan Florsch hilang kawalan sebelum menghentam jentera pelumba Jepun, Sho Tsuboi pada kelajuan 276.2 kilometer sejam (ksj) sehingga menyebabkan jen­­teranya terbang sebelum menghentam tembok penghadang di kawasan jurugambar.

Ketika itu, beberapa jurugambar dan marshal perlumbaan berada di tempat kejadian. Kesemua mereka dikejarkan ke hospital serta-merta selepas mengalami kecederaan serius.

Akibat kemalangan tersebut, Florsch mengalami keretakan tulang belakang, manakala marshal perlumbaan, Chan Cha In mengalami kecederaan pada muka selain retak rahang.

Dua jurugambar iaitu Minami Hiroyuki dikatakan me­ngalami gegaran otak, manakala Chan Weng Wang cedera dalaman berkaitan hati. Ke­dua-dua mereka kini dipantau rapi oleh pihak hospital.

Sejurus perlumbaan itu, pa­sukan Van Amersfoort Racing mengeluarkan kenyataan bahawa Florsch dalam keadaan stabil dan masih dalam pemantauan rapi.

“Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan saya tidak ada apa-apa tetapi akan menjalani pembedahan pagi esok. Terima kasih kepada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) yang menjaga saya,” kata Florsch dalam satu kenyataan semalam. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN