SHAH ALAM 26 Nov. – Polis telah mengenal pasti dalang insiden kekecohan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Muhammad Fuzi Harun berkata, setakat ini pihaknya telah menahan 17 lelaki warga tempatan termasuk enam yang cedera dan kesemuanya berada di lokasi kejadian ketika insiden berlaku.
“Kita telah mengenal pasti dalang kepada insiden tersebut dan akan menahannya dalam masa terdekat. Selain enam individu, seorang anggota polis berpangkat Koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya juga cedera.
“Mangsa mengalami luka serta patah tangan. Selain itu, kita telah merampas senjata yang digunakan dalam kekecohan tersebut iaitu dua pedang, dua kayu dan dua getah paip.
“Saya ingin menegaskan insiden ini tiada kaitan dengan perkauman dan kesemua yang ditahan akan direman,” katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara , Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd; Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.
Dalam pada itu, jelas Muhammad Fuzi, pihaknya mahu semua individu yang berkumpul di kuil tersebut bersurai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
“Kita difahamkan seramai 2,000 individu berkumpul dan ada pihak yang cuba menghasut supaya keadaan lebih buruk.
“Saya menasihatkan mereka tidak mengeruhkan lagi keadaan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika enggan mendengar arahan yang diberikan.
“Selain itu, mana-mana pihak juga perlu berhenti memberi sebarang kenyataan yang tidak membantu polis menyelesaikan kes,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










