ALOR SETAR 17 Nov. – Masyarakat khususnya yang beragama Islam diseru agar menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha ke arah meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Imam Besar Masjid Zahir, Datuk Sheikh Roslan Abd. Halim berkata, memandangkan ratifikasi ICERD ini lebih bermotifkan peribadi segelintir pihak, ia wajar ditolak kerana memberi kesan yang bahaya sehingga mampu menggugat keharmonian di negara ini.
Justeru katanya, semua pihak harus menyokong sepenuhnya tindakan serta usaha yang dimulakan pihak tertentu dalam membantah tindakan ratifikasi ICERD seperti yang dimahukan pihak tertentu.
“Kita perlu sama-sama memberi sokongan terhadap usaha menolak ICERD ini agar ia tidak ditandatangani oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Surau Nurul Iman Taman Serindit di sini hari ini.
Tegasnya, tindakan tersebut perlu dianggap tanggungjawab individu dan komuniti untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi pegangan sejak dahulu.
“Kita kena sokong, wajib kena sokong perlembagaan yang sedia ada,” jelasnya.
Akhbar minggu lalu melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan, tiada keperluan untuk negara ini meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) seperti yang dimahukan pihak tertentu.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, dasar sedia ada di Malaysia telah mewujudkan keadaan yang aman damai dan atas sebab itu, tidak perlu untuk negara ini ‘meminjam’ dasar asing yang sudah tentu tidak mengambil kira persekitaran unik di Malaysia. – UTUSAN ONLINE










