PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, tiada keperluan untuk pihak yang berkenaan mengadakan perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana kerajaan telah mengumumkan untuk tidak meratifikasi konvensyen itu.
“Kerajaan telah memuktamadkan tidak akan meratifikasi ICERD maka semua pihak harus menghormati keputusan itu,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini.
Pada 23 November lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menyatakan kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.
Susulan kenyataan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya dilaporkan berkata perhimpunan di Dataran Merdeka pada 8 Disember ini tetap diteruskan namun ditukar menjadi majlis kesyukuran.
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man juga dilaporkan berkata, perhimpunan tersebut akan diteruskan walaupun PAS menyambut baik keputusan kerajaan tidak mengiktiraf ICERD. – Bernama










