ICERD - Siapa menang? - Utusan Malaysia

ICERD – Siapa menang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKHIRNYA semakin jelas bahawa majoriti orang Melayu menolak sekeras-kerasnya cubaan untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum  (ICERD). 

Bukan  sekadar pemimpin UMNO, Sultan dan Raja serta mufti sahaja yang menentang keras usaha meratifikan ICERD malah kini semua pemimpin parti politik yang berteraskan Islam turut sama melenting. Jika sebelum ini ada pemimpin Islam yang seolah-olah cuba bertindak neutral dan mahu dilihat tidak memihak dalam isu itu, namun kini jelas tiada siapa yang menerima ICERD.
     

Parti Bersatu baik melalui anak Perdana Menteri yang juga Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir mahupun Presidennya  sendiri, Muhyiddin Yassin lantang menolak dengan menyatakan majoriti ahli menolak ICERD. Begitu juga Parti Amanah mengambil pendirian sama kerana melihat permintaan itu sebagai bertentangan dengan Perlembagaan dan budaya majoriti masyarakat, melalui timbalan presidennya, Salahuddin Ayub.
     

Malah  PKR yang melibatkan ahli berbilang kaum, menerusi presidennya, Anwar Ibrahim sendiri menyifatkan perkara ini tidak sesuai dilaksanakan sekarang. Beliau tanpa bersembunyi menyatakan tindakan itu mencetuskan rasa ‘cemas’ dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera.
     

Sememangnya sebagai orang Melayu dan bumiputera siapa yang tidak berasa bimbang dan gusar dengan provokasi sebegini. Apatah lagi P. Waytha Moorthy, menteri yang bertanggungjawab menjaga soal perpaduan negara dan kesejahteraan sosial menjadikan isu ICERD, agenda utama selepas dilantik ke Kabinet.
     

Apatah lagi dengan viralnya video lama bagaimana Waytha Moorthy  memburukkan Malaysia sebagai negara yang zalim dan begitu teruk dalam soal hak asasinya di luar negara. Melihat pada video berkenaan banyak fakta yang sengaja diputar belit terutama dalam soal layanan terhadap kaum India serta kedudukan kuil-kuil mereka. 
     

Memang menyedihkan melihat Malaysia dituduh sebuah negara yang kejam terhadap penduduknya oleh warganya sendiri yang kini berjawatan menteri. Namun bagi penulis sekurang-kurangnya kebimbangan bahawa orang Melayu semakin berpecah akibat terlalu berpolitik sedikit reda dengan pengakuan berani semua pemimpin Melayu ini.  
   

Sekurang-kurangnya jaminan bahawa hak dan keistimewaan orang Islam dan Melayu di negara ini akan terus dipertahan nampak teguh walaupun orang Melayu kini bernaung dalam pelbagai parti. Tetapi sudah tentu orang bukan Islam yang sudah lama menanti supaya ICERD dilaksanakan akan tetap berkeras dengan pendirian ini kerana ia adalah perjuangan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang sekular dan liberal.
     

Jika tidak ditangani dengan betul ditakuti perkara lebih menakutkan mampu tercetus. Tidak mustahil hanya dengan sedikit provokasi, rusuhan dan pergaduhan boleh tercetus seterusnya mengancam keamanan dan kestabilan yang telah dinikmati semua kaum di negara ini.  
     

Yang pasti tiada siapa menang jika pergaduhan tercetus. Tiada maknanya Malaysia yang didiami pelbagai kaum sering mencurigai sesama sendiri. Duduklah dan berbincanglah elok-elok demi masa hadapan yang lebih baik dan gemilang untuk semua. 

P.S: Menang jadi abu yang kalah jadi arang…

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN