KUANTAN 17 Nov. – Cadangan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di negara ini merupakan satu bentuk penjajahan baharu yang boleh menggugat keharmonian kaum.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, beliau jelas tentang agenda tersembunyi pihak yang mencadangkannya kerana ICERD merupakan konvensyen yang telah dibentangkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 4 Januari 1969 dan Malaysia bukan ahlinya.
“Justeru, bantahan yang dilakukan melalui perhimpunan di setiap negeri terhadap ICERD bukannya gerakan parti politik sama ada UMNO atau Pas tetapi ini adalah gerakan massa.

“Bantahan ini merupakan manifestasi ketidakpuasan hati rakyat kerana kita menjunjung kontrak sosial yang dipersetujui sebelum ini. Kita tahu tiada permasalahan timbul terhadap empat perkara yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya selepas perjumpaan bersama UMNO negeri di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.
Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ahmad Zahid menegaskan, pihak-pihak tertentu jangan mengambil mudah seruan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menghimpunkan jutaan rakyat ke jalan raya bagi membantah pengiktirafan konvensyen antarabangsa itu.
“Kita bersetuju dengan saranan itu dan jangan sesekali pandang enteng malah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin Amanah juga tidak bersetuju dengan meratifikasikan ICERD.
“Sebab itu saya katakan gerakan himpunan membantah ini bukan atas agenda politik tetapi massa kerana terdapat agenda tersembunyi dilakukan menteri dalam kerajaan,” ujarnya.










