BARANGKALI kerana terlampau letih, si jelita ini datang agak lewat semasa sesi fotografi bersama Pancaindera diaturkan oleh pihak penganjur tempoh hari.
Pun begitu, Raline Shah masih sempat mengukir senyuman meski sedar jadual seninya cukup padat pada bulan ini demi komitmen mempromosikan filem terbaru, Polis Evo 2.
Berbual santai bersamanya yang turut ditemani ibu tercinta, Roseline Rahmat, aktres dari tanah seberang ini cukup relaks saat diusik dengan soalan mengenai peribadi.
Maklumlah, tidak semua artis selesa berdepan dengan pertanyaan ini kerana mahu menjaga eksklusiviti selain punya ego sendiri, apalagi soal cinta.Petang itu, ternyata persepsi terhadap Raline dilihat berbeza.
“Kalau diberitahu, orang pasti tidak percaya yang saya sehingga kini belum ada kekasih hati. Sebenarnya, soal membina hubungan ini bukan fokus buat masa ini.
“Saya sedang fokus untuk memberi yang terbaik pada hidup, jadi orang yang lebih sihat fizikal dan mental, lebih bahagia dan damai. Di kemudian hari, mungkin akan lebih mudah mendatang. Mana tahu, kan?” katanya membuka cerita.
Membayangkan dirinya akan meletakkan noktah pada kerjaya seni apabila sudah berkahwin kelak, Raline mahu memberi tumpuan kepada suami dan keluarga pada masa depan. Kerana itulah dia tidak punya alasan untuk bermain cinta yang memungkinkan fokus kerjayanya terganggu.
“Selagi laku dan selagi solo inilah saya boleh lakukan macam-macam perkara paling maksimum. Kalau sudah berkahwin, waktu itu mungkin saya sudah letih untuk ‘melayan’ dunia seni.
“Apa lagi kerja saya ini memerlukan diri untuk selalu bergerak, sama ada dalam dan luar negara. Susah andai ada hubungan komitmen yang serius,” katanya.











