Hampir mustahil laksana ICERD – Dr. M - Utusan Malaysia

Hampir mustahil laksana ICERD – Dr. M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Papua New Guinea 18 Nov. – Tun Dr. Mahathir Moha­mad (gambar) berkata, pelaksanaan Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan perkara ini hampir mustahil untuk dilakukan.

Perdana Menteri menegaskan, majo­riti dua pertiga ahli Parlimen diperlukan untuk me­laksanakan perkara itu.

Ini katanya, hampir mustahil berikutan komposisi semasa ahli Dewan Rakyat daripada kerajaan dan reaksi yang ditunjukkan berhubung perkara itu daripada pihak pembangkang serta anggota kerajaan.

“Hanya dengan sokongan da­ripada pembangkang yang akan membolehkan kita mencapai majoriti dua pertiga, malah anggota kerajaan sebelum ini pun mungkin tidak menyokongnya. Jadi, saya berpendapat adalah hampir mustahil bagi kami untuk mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan (untuk meminda Perlembagaan),” katanya.

Dr. Mahathir bercakap kepada media Malaysia di akhir Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke-26 di sini.

Dilaporkan sebelum ini Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyuarakan bantahan berhubung ICERD, manakala parti pembangkang merancang untuk menganjurkan perhimpunan bersama bulan depan bagi menentang cadangan meratifikasi konvensyen itu.

Dr. Mahathir mengambil mak­lum bahawa ICERD adalah sensitif kepada kaum Melayu di Malaysia dan kerajaan tidak menolak pandangan yang di­­suarakan rakyat tentang perkara itu.

“Perkara ini sensitif kepada orang Melayu, kami memahaminya. Dalam ucapan di (perhimpunan agung) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, saya menyebut tentang kerumitan dalam pelaksanaan ICERD. Jadi, kami tidak menyatakan komitmen bahawa akan melakukannya,” katanya.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, orang Melayu ber­agama Islam akan ‘mengamuk’ untuk membantah ikrar kerajaan Pakatan Harapan untuk meratifikasi ICERD. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×