KUALA TERENGGANU 17 Nov. – Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah memandang serius penularan gejala sosial dan masalah moral dalam kalangan golongan berpendidikan tinggi.
Baginda bertitah, gejala itu boleh merencatkan pembangunan modal insan dan pembentukan masyaraikat madani yang diimpikan jika mereka tidak mempunyai jati diri yang kuat dan mudah dipengaruhi pelbagai unsur.
“Pada masa kini, penggunaan media baharu juga dilihat telah berkembang dengan pesat dan begitu pantas. Para graduan perlu bijak menggunakan media baharu demi kebaikan diri dan ummah di samping menjadi contoh kepada masyarakat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Ke-10 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Dewan Al-Muktafi Bilal Shah di sini hari ini. Turut berangkat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Yang hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Yusof Md. Nor; Pengerusi Lembaga Pengarah universiti, Prof. Emeritus Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty dan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif.
Sultanah Nur Zahirah turut menasihatkan graduan agar tidak berhenti belajar dan menambah kemahiran kerana melestarikan pembelajaran amat penting untuk menjadi insan yang sentiasa mampu menyumbang dengan jiwa dan semangat suakrelawan yang tinggi.
Konvokesyen yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini melibatkan seramai 2,836 graduan dengan 62 graduan dianugerahkan ijazah doktor falsafah, sarjana (134 graduan) manakala baki 2,640 adalah sarjana muda dan diploma.
Dalam majlis itu, Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, 74, dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengajian al-Quran daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai pengiktirafan kepada sumbangan serta ketokohannya sepanjang 36 tahun dalam bidang musabaqah tilawah dan hafazan di Malaysia.
Graduan program Sarjana Muda Bahasa Arab, Muhamad Amir Zainudin dan Ong Ying Qian, graduan Sarjana Muda Diatetik menerima Anugerah Pelajaran Diraja.
Anugerah Terbaik Fakulti diterima oleh Puteri Nuraaina Balqis Mohd. Asri (Sarjana Muda Bahasa Inggeris); Izzat Azfar Zulhisham (Sarjana Muda Sains Komputer Pembangunan Perisian); Muhamad Nabil Che Musa (Sarjana Muda Usuluddin dengan Kaunseling); Norliyana Zailani (Sarjana Muda Perakaunan) dan Dang Qian Yin (Sarjana Muda Dietetik).
Penerima lain adalah Fadzillah Adibah Fadzil Suhaimi (Sarjana Muda Bioteknologi Pertanian); Mohammad Hanidd Halim (Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian); SS. Raagini (Sarjana Muda Undang-undang); Nik Nurfatini Nik Muhammad Nasir (Sarjana Muda Kerja Sosial) dan Fatin Nurhana Abdul Matin (Sarjana Muda Perubatan).
Majlis konvokesyen kali ini turut meraikan kumpulan graduan sulung bagi tiga program baharu iaitu, Sarjana Muda Sains Komputer (Komputer Internet), Sarjana Muda Kerja Sosial dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan.-UTUSAN ONLINE










