Graduan AS dibebani hutang - Utusan Malaysia

Graduan AS dibebani hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Derma terbesar berjumlah AS$1.8 bilion oleh Michael Bloomberg bagi membantu kewangan Universiti Johns Hopkins membayangkan masalah hutang pelajar di Amerika Syarikat (AS) yang terus membelenggu mereka bertahun-tahun selepas bergelar graduan.

Jabatan Pendidikan AS memaklumkan, seramai 42.2 juta orang membayar pinjaman pendidikan persekutuan setakat akhir Jun 2018 dengan jumlah hutang terkumpul hampir AS$1.5 trilion (RM6.2 trilion), terbesar selepas hutang pinjaman perumahan.

Bloomberg yang merupakan bekas datuk bandar New York berkata, beliau memberikan derma itu sebagai hadiah kepada bekas universitinya bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana mendapatkan akses pendidikan tinggi.

Kos pendidikan tinggi dan sekolah elit di AS lazimnya melepasi angka AS$50,000 (RM209,450) setahun, jumlah yang tidak mampu dibiayai oleh kebanyakan ke­luarga di negara itu.

“Saya bernasib baik. Bapa saya ialah seorang penyimpan kira-kira dengan gaji tidak lebih AS$6,000(RM25,113) setahun. Namun, saya mampu belajar di Universiti Johns Hopkins menerusi pinjaman pelajaran Jabatan Pertahanan Nasional dan dengan bekerja di kampus,” kata Bloomberg.

Derma itu yang dipercayai terbesar kepada sebuah universiti, akan memastikan bahawa kami berupaya merekrut lebih ramai pelajar generasi pertama dan berpendapatan rendah dan menyediakan akses penuh kepada mereka merangkumi setiap dimensi pengalaman pembelajaran di Universiti Johns Hopkins, kata ketua universiti berkenaan, Ronald Daniels.

Pada masa ini, sebanyak 44 peratus pelajar universiti di Baltimore, Maryland itu menamatkan pembelajaran mereka menggunakan pinjaman pendidikan dengan purata setiap orang berhutang lebih AS$24,000 (RM100,536), demikian menurut data pusat pengajian tinggi berkenaan. AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN