PULAU PINANG 18 Nov. – DAP menganggap Gerakan kini bukan lagi ancaman kepada mereka setelah parti itu kalah teruk buat kali ketiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.
Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow berkata, walaupun Gerakan cuba membuat beberapa perubahan termasuk mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN), namun perkara itu dijangka tidak memberi ancaman kepada pentadbiran kerajaan negeri dalam masa terdekat.
Katanya, pada masa sama, parti-parti politik lain di negeri ini juga didapati sudah tidak aktif selepas PRU14.
“Hampir semua parti pembangkang di negeri ini berjaya ditewaskan kecuali UMNO yang menang dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pas menang satu kerusi iaitu Penaga kerana calon Pakatan Harapan (PH) hilang kelayakan bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Biasa DAP negeri di sini hari ini yang turut dihadiri, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Katanya, walaupun menang besar iaitu 37 daripada 40 kerusi DUN yang dipertandingkan, namun pembangkang yang diketuai UMNO akan cuba ‘memainkan ‘ peranan mereka di DUN.
Pada PRU-14, DAP menang semua 19 kerusi DUN yang ditandingi buat kali ketiga berturut-turut sejak 2008. – UTUSAN ONLINE.










