Fokus perkara lebih penting daripada beri perhatian kepada ICERD - Utusan Malaysia

Fokus perkara lebih penting daripada beri perhatian kepada ICERD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 17 Nov. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpendirian jelas iaitu menolak pengiktirafan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, kerajaan perlu memberi fokus atau keutamaan kepada perkara yang lebih penting seperti pembangunan ekonomi, tangani kos sara hidup rakyat bukan memberi perhatian kepada isu-isu sensitif seperti ICERD ini.

Katanya, selain sensitif, apa yang jelas akan terdapat prinsip di dalam Perlembagaan yang sudah pastinya terjejas jika konvensyen itu diiktiraf.

“Di peringkat Bersatu, kita sudah sebut banyak kali secara umum tidak bersetuju. Kerajaan juga kena faham ada benda perlu disegerakan, ada benda perlu dibincangkan atau dikemudiankan.

“ICERD ini, antara benda yang tidak perlu disegerakan, perkara yang perlu diutamakan adalah seperti isu pembangunan ekonomi,membela nasib rakyat dan mengenai kos sara hidup. Jika saya masuk kampung-kampung, mereka tidak tahu mengenai ICERD ini, apa yang penting nasib mereka dibela,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Pendidikan Kerjaya 2018 di perpustakaan Kolej Matrikulasi Arau di sini, hari ini.

Semalam, hampir di setiap negeri ada dianjurkan perhimpunan membantah ICERD yang ditunjangi dua parti Melayu Islam terbesar iaitu UMNO dan Pas selain disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta dihadiri ribuan peserta.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, Pakatan Harapan dinasihatkan supaya tidak menghidangkan ‘peluru kepada pihak lawan untuk menembak’ kerajaan.

“Dalam beberapa isu-isu sensitif kita lihat kebanyakkan peluru yang ditembak dihidangkan sendiri oleh kita. Isu ini (ICERD) bukan sahaja sensitif tetapi pasti akan menyebabkan prinsip di dalam Perlembagaan tercalar,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN