Fatihah hampir bankrap tiga kali - Utusan Malaysia

Fatihah hampir bankrap tiga kali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Pernah menghadapi du­gaan hampir bankrap sebanyak tiga kali disebabkan hutang, namun ia tidak menghalang Fatihah Anis Ibrahim melupakan hasrat untuk terus bergelar usahawan.

Fatihah, 56, seorang ibu tunggal kepada tiga orang anak cekal menjalankan perniagaan makanan sejuk beku dan tidak mudah berputus asa meskipun terpaksa menjual tanah serta rumahnya suatu ketika dahulu.

Berbekalkan pencapaian aka­demik sekadar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Pengasas dan Pengarah Urusan Fatihah Frozen Food Sdn. Bhd. sebelum ini pernah bekerja sebagai kerani bank kemudiannya berkahwin dan mengikut suami ke London atas urusan kerja.

“Pengalaman ke London membuka mata saya bahawa makanan sejuk beku menawarkan potensi tinggi. Semua makanan adalah ‘frozen’ tidak kira nasi, pasta dan macam-macam lagi.

“Ini seterusnya membuatkan saya nekad untuk menghasilkan kuih-muih sejuk beku yang kini mempunyai kilang di Kompleks Industri Makanan Mara (Kimar), Batu Caves,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Fatihah mula menjual karipap sejak berumur 17 tahun di Kota Bharu, Kelantan yang mana ketika itu hanya menggunakan kira-kira satu kilogram tepung sehari dan meletakkannya di gerai dekat dengan rumah.

“Saya memang minat memasak sejak kecil dan selalu me­ngumpul resipi daripada surat khabar Utusan Malaysia, lepas itu saya tampal pada buku nota untuk dicuba pada waktu lapang.

“Saya belajar mengelim karipap menggunakan tanah liat (plastisin) sewaktu saya kecil,” sambil menambah rancangan untuk mengeksport produk ke Australia menjelang akhir 2018.

Pernah dilabelkan sebagai usa­hawan yang tidak pernah berubah kerana asyik menyertai acara bazar dan pameran di dalam negara, produk keluarannya kini telah dieksport ke Brunei dan Jeddah, Arab Saudi.

Fatihah yang lebih mesra menggelarkan dirinya mama memberitahu bahawa berniaga pada zaman dulu dan kini amat berbeza. Dulu daging lembu hanya RM4.15 sekilogram kini sudah mencecah RM20.

“Tetapi walaupun kos sema­kin tinggi, produk Fatihah Frozen Food menggunakan bahan-bahan segar dan berkualiti bagi memberikan kepuasan kepada para pelanggan.

“Kini, kami memiliki hampir 20 jenis produk termasuk samosa, roti sardin bersalut, karipap, popia sayur, ais krim goreng, cucur badak dan terbaharu produk Royale Paratha Durian dan Royale Paratha Bawang Putih,” katanya.

Royale Paratha Durian menerima anugerah inovasi daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada 2017.

Fatihah Frozen Food menerima bimbingan dan geran antaranya daripada Majlis Amanah Rak­yat (Mara), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta SIRIM Bhd. menerusi program SIRIM-Fraunhofer.

Dengan bantuan itu, kilang yang menghasilkan produk makanan sejuk beku itu mampu menggunakan teknologi tersebut dengan menghasilkan 3,000 cucur badak hanya dalam masa satu jam.

 

* Fatihah Frozen Food ditubuhkan pada 1994

* Bermula dengan pembuatan karipap, kini mempunyai lebih 
20 produk

* Produk Royale Paratha Durian menerima anugerah inovasi

* Menerima bimbingan dan geran antaranya daripada Mara 
& Sirim

* Akui pembangunan teknologi memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran bagi memenuhi permintaan pasaran

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×