ALOR SETAR – Empat warganegara Finland termasuk dua wanita yang ditahan selepas disyaki menyebarkan risalah Bible kepada umat Islam di sekitar pulau peranginan, Langkawi dekat sini baru-baru ini akan diusir keluar dari negara ini dengan segera.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, semua suspek berusia antara 27 hingga 60 tahun itu juga akan disenarai hitam daripada memasuki semula negara ini.
Kata beliau, kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Ishak Mohd. Yusoff pada Khamis lalu dan ia turut dibincang dengan Ketua Bahagian Pendakwaan AGC serta dibawa kepada pengetahuan Peguam Negara dan Peguam Cara III.
“Setelah meneliti fakta siasatan dan juga percakapan suspek, kes diputuskan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) yang mana semua pen dan risalah berkaitan dirampas untuk dimusnahkan.
“Kesemua suspek akan diusir dengan segera dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, AGC juga akan menghantar satu surat kepada Kedutaan Finland bagi menyuarakan ketidakpuasan pihak Malaysia terhadap perbuatan suspek terlibat. – K! ONLINE










