Empat juvana antara dituduh membunuh - Utusan Malaysia

Empat juvana antara dituduh membunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Lapan lelaki termasuk empat juvana dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuo Kuang 1, di Taman Ungku Tun Aminah (Tuta), di sini awal bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan yang direkodkan daripada tertuduh, Lim Zhi Hao, 23; Ko Boon Hao, 20; Lim Chim Hoang, 18; Wong Jiunn Woei, 18 bersama empat juvana berusia antara 15 hingga 17 tahun selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan
Majistret, Azureen Sahira Saufee Afandi.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa terlibat dalam ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan melakukan bunuh serta menyebabkan kematian seorang lelaki dikenali Chia Min Yong, 21.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuo Kuang 1, Tuta, di sini pada jam 12.30 tengah hari, 11 November lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 302 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, salah seorang tertuduh, Chim Hoang didakwa menyebabkan cedera ke atas Heng Wei Lun, 15, dengan menggunakan sebilah pisau.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Jalil Salam Muhamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Mahkamah menetapkan 19 Disember ini sebagai sebutan semula kes. – K! ONLINE.
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×