BAGI seorang wanita yang pernah mengalami kegagalan rumah tangga, ada kala agak sukar menerima cinta baharu. Banyak perkara yang perlu difikirkan sebelum terbabit dalam komitmen berkenaan.
Tambahan pula jika mempunyai zuriat daripada perkahwinan terdahulu, sudah pasti banyak perkara yang perlu diperhalusi terlebih dahulu tambahan banyak hati yang perlu dijaga.
Atas sebab itu, Elly Mazlein, 38, mengakui tidak pernah memikirkan soal itu. Walaupun banyak ‘lamaran’ cinta diterima, penyanyi dan pelakon ini belum bersedia berkongsi hatinya lagi.
“Susah nak cakap bab hati ini. Kalau belum terbuka, ia tetap sebegitu meskipun yang datang itu luar biasa,” kata Elly, 38, yang menjadi ibu tunggal lebih dua tahun lalu.
Bagaimanapun entah macam mana, pendirian yang dipegang itu goyah akhirnya. Tanpa diduga, perkenalan yang tidak disengajakan dengan seorang jejaka sebelum ini mengubah persepsi diri tentang cinta.
Jika selama ini, penyanyi lagu Usah Disimpan Bara Yang Tersimpan menolak cinta, tapi kali ini tidak. Dia benar-benar terbuai dengan kejujuran dan kesungguhan lelaki berkenaan sepanjang berkenalan.
“Sungguh, segala-galanya indah dalam tempoh lima bulan perkenalan ini. Saya seperti orang yang baharu nak mengenali erti cinta. Dia menyenangkan segala-galanya.
“Kematangan dan sikap budiman yang dimiliki membuai perasaan saya. Paling penting, dia hadir tepat pada masa saya dan anak memerlukan perhatian seorang lelaki,” kata Elly berterus terang.
Elly berkenalan dengan teman lelakinya yang berusia lewat 20-an itu di sebuah majlis. Pasangan itu kini sedang dalam proses mengenali hati budi masing-masing sebelum ke peringkat seterusnya.
Sebelum ini dia pernah berkahwin dengan pengarah drama Azmi Hata pada 9 November 2014 dan bercerai pada 15 Oktober 2015. Ketika itu, pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi ini sedang hamil empat bulan.











