KAJANG 29 Nov. – BANDAR Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor merupakan sebuah projek pembangunan bercampur yang pesat membangun dan menjadi tumpuan pembeli kediaman kerana lokasinya yang terletak di kawasan strategik.
Terdapat pelbagai kemudahan di situ termasuk sekolah, hospital, pusat beli-belah, premis perniagaan dan sebagainya.
Kawasan perumahan itu bukan sahaja dihubungkan dengan rangkaian Le-buhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK) dan stesen Transit Aliran Massa (MRT) tetapi juga jaringan jalan alternatif melalui Balakong, Alam Damai dan Taman Len Seng.
Tidak hairanlah pihak berkuasa tempatan di kawasan itu, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menetapkan visi Kajang dan kawasan sekitarnya sebagai sebuah ‘bandar pilihan untuk didiami’.
Namun, apa yang mengecewakan penduduk, keadaan jalan raya di Bandar Tun Hussein Onn tidak menggambarkan ‘status’ berkenaan.
Tinjauan Utusan Malaysia di Lebuh Utama Tun Hussein Onn, Persiaran Suasana, Jalan Sua-damai dan Jalan Suakasih baru-baru ini mendapati, keadaan jalan raya di dalam kawasan taman perumahan itu begitu mengecewakan.
Kerosakan teruk boleh dilihat di mana-mana sahaja.
Berdasarkan pemerhatian permukaan jalan di situ berpasir dan berlopak di sana sini sekali gus mendedahkan pengguna kepada bahaya.
Kegagalan pihak berkuasa tempatan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala didakwa antara faktor berlaku kerosakan berulang berlaku di kawasan itu.
Utusan Malaysia difahamkan, kerja-kerja tampalan yang dilakukan sebelum ini langsung tidak memberi kesan apabila kurang daripada seminggu selepas dibaik pulih jalan di situ kembali rosak.










