KUALA LUMPUR 17 Nov. – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata adalah lebih adil sekiranya bekas calon PKR kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan, Dr. S. Streram dicalonkan semula untuk bertanding di DUN tersebut seandainya pilihan raya kecil perlu diadakan.
Rafizi berkata ini kerana Dr. Streram telah meletakkan asas yang kukuh untuk PKR bersaing di Rantau semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Meskipun namanya turut disebut sebagai antara ahli PKR yang akan dicalonkan oleh kepimpinan parti untuk DUN Rantau, Rafizi berkata, jika benar ia sesuatu yang tidak masuk akal kerana dirinya tidak mempunyai sebarang pertalian dengan Negeri Sembilan.
“Ya betul saya berkempen di Negeri Sembilan, tetapi saya melakukannya untuk Dr. Streram. Beliau bekerja keras mengetuk hampir setiap pintu di Rantau untuk berkempen.
“Dr. Streram perlu mendapat kredit kerana beliau sendiri membawa hal ini ke mahkamah. Beliau adalah calon terbaik.
“Jika saya dibayar RM1 juta untuk bertanding sekali pun, saya tidak akan menerimanya kerana ia tidak adil kepada beliau,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke Kongres Nasional PKR Ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, sebentar tadi.
Semalam, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN Rantau pada PRU-14 adalah tidak sah dan terbatal.
Mohamad, yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan, menang tanpa bertanding selepas Dr. Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon pada 28 April lalu kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – UTUSAN ONLINE










