ALOR SETAR 26 Nov. – Mereka yang memiliki saman tertunggak berpeluang menyelesaikannya pada kadar diskaun 50 peratus sempena Program Polis dan Masyarakat di pasar raya Tesco Mergong dekat sini bermula hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Chuah Seong Lim berkata, kaunter sama turut dibuka di Cawangan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tempoh tiga hari itu bagi memberi kemudahan kepada mereka di selatan negeri ini.

“Di pasar raya Tesco Mergong, kami menyediakan lapan kaunter yang akan beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 4 petang untuk memudahkan orang ramai melakukan semakan serta membayar saman.
“Manakala di Cawangan Trafik IPD Kuala Muda pula, sebanyak enam kaunter disediakan untuk tujuan sama dan akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai Pertandingan Boling anjuran JSPT negeri bersama media serta agensi luar, di sini baru-baru ini.
Bagi mengelakkan kesesakan katanya, orang ramai dinasihatkan membuat semakan saman di cawangan trafik terdekat atau secara dalam talian sebelum hadir membuat bayaran di kedua-dua lokasi tersebut.
“Tawaran diskaun ini merangkumi semua jenis kesalahan trafik kecuali saman kemalangan, saman berstatus tiada kompaun (NC), saman berstatus waran tahun semasa, saman OP Selamat tahun semasa, saman berstatus mahkamah dan saman berkaitan lori.
“Golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan ibu mengandung akan diberi keutamaan menyelesaikan saman tersebut di kaunter khas. Oleh itu, saya harap mereka yang memiliki saman tertunggak tidak melepaskan peluang ini,” katanya.
Katanya, selepas ini, pihaknya turut merancang menjalankan aktiviti sama di beberapa kawasan lain antaranya Kulim, Padang Terap dan Pendang.










