Diskaun RM30,000 buat warga Felda - Utusan Malaysia

Diskaun RM30,000 buat warga Felda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN 11 Nov. – Mutiara Residence Jengka yang merupakan projek pembangunan perumahan usahasama antara Felda dan syarikat swasta pertama di Felda Wilayah Jengka menawarkan kadar diskaun sebanyak RM30,000 kepada pembeli yang layak.

Projek yang dimajukan oleh Pembangunan RMM Harta Sdn. Bhd. (RMM)  di atas tanah milik Felda seluas 16 hektar dengan nilai pembangunan RM200 juta itu melibatkan pembinaan 510 unit rumah teres dua dan tiga tingkat.

Pengarah Urusan Pembangunan RMM, Datuk Azjuriyahti Azlan berkata, pembangunan perumahan tersebut dilaksanakan secara berperingkat melibatkan empat fasa yang dijangka siap sepenuhnya pada 2021.

“Mutiara Residence Jengka merupakan projek ikon perumahan dan pembangunan komersial usahasama antara Felda dan RMM yang dilaksanakan dalam empat fasa dengan fasa pertama sebanyak 187 unit.

“Setelah melakukan perbincangan dengan Felda kita bersetuju menawarkan diskaun sebanyak RM30,000 bagi warga Felda, generasi kedua Felda dan penjawat awam,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis perasmian rumah contoh Mutiara Residence Jengka di Dataran Mutiara Residence Jengka di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Abd. Malib Abd. Ghani.

Menurut Azjuriyahti, rumah berkenaan ditawarkan dengan harga  berpatutan iaitu bermula dari RM285,000 seunit bagi rumah teres dua tingkat dan RM350,000 seunit bagi rumah tiga tingkat selepas diskaun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN