KUALA LUMPUR 26 Nov. – Parlimen menafikan laporan portal Malaysiakini pada Jumaat lalu kononnya beberapa sami dilarang memasuki premis itu disebabkan berpakaian Hindu.
Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen dalam satu kenyataan memaklumkan, larangan ke atas tetamu-tetamu berkenaan disebabkan mereka tidak mematuhi kod etika berpakaian ditetapkan iaitu seluar jean dan selipar.
“Parlimen ingin menegaskan bahawa larangan kemasukan ke atas tetamu-tetamu ini bukanlah merujuk kepada pakaian Kaavi semata-mata seperti didakwa, namun ia berikutan pemakaian seluar jean dan selipar oleh tetamu-tetamu lain yang bersama-sama beliau (pihak peguam dan dua ahli jawatankuasa kuil yang sudah masuk berjumpa Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum itu) serta mengambil kira persetujuan pihak Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk berjumpa mereka di luar bangunan Parlimen.
“Sehubungan itu, Parlimen berharap agar isu ini tidak berpanjangan kerana Parlimen sentiasa peka berkaitan sensitiviti keagamaan dan dakwaan larangan masuk kerana berpakaian Hindu seperti yang dilaporkan adalah kurang jelas dan tidak tepat,” jelas kenyataan itu, di sini malam tadi.
Menurut kenyataan itu lagi, secara umum setiap pelawat yang ingin memasuki bangunan Parlimen haruslah sentiasa mematuhi kod etika berpakaian yang telah ditetapkan.
Kod etika berpakaian boleh dirujuk di www.parlimen.gov.my. – UTUSAN ONLINE










