Cukai pintu hapus - Utusan Malaysia

Cukai pintu hapus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 25 Nov. – Kerajaan Pas kembali melaksanakan pengecualian cukai taksiran dan menghapus kira cukai tertunggak untuk semua premis kediaman di negeri ini berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Langkah yang pernah diambil semasa Pas memerintah pada penggal 1999-2004 lalu, dan sekali lagi dijadikan tawaran kepada rakyat dan manifesto parti itu dalam Pilihan raya Umum Ke-14, secara keseluruhannya dianggarkan bernilai RM14.7 setahun.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan langkah itu ketika membentangkan Bajet Terengganu 2019 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini yang difatkan sebagai salah satu langkah mengurangkan bebanan rakyat.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau mengakui pengecualian cukai ini akan sedikit sebanyak memberi kesan kepada pihak berkuasa tempatan dalam menggerakkan perkhidmatan.

“Tetapi kita yakin akan dapat menampung (kehilangan hasil) menerusi prestasi cekap PBT (pihak berkuasa tempatan),” katanya.

Kerajaan negeri katanya, turut memperuntukkan sebanyak RM17 juta untuk mengagihkan Kad Sejahtera bernilai RM500 setahun kepada setiap keluarga daripada golongan miskin sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto.

“Kad ini membolehkan mereka menerima perkhidmatan wad kelas ketiga percuma di hospital kerajaan selain boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan kesihatan di klinik swasta,” katanya.

Bajet 2019 turut menyediakan peruntukan sebanyak RM7 juta bagi  melaksanakan pemberian RM300 untuk belia anak negeri mendapatkan lesen motosikal.

“Belia digalakkan memiliki lesen motosikal selaras dengan pematuhan undang-undang jalan raya dan membuka peluang lebih luas untuk memudahkan pemilikan kerjaya,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×