ABU DHABI 25 Nov. – Seorang kerabat diraja Arab Saudi melahirkan keraguan mengenai laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang mendakwa Putera Mahkota negara itu, Putera Mohammed Salman mengarahkan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di Istanbul, Turki pada bulan lalu.
Putera Turki al-Faisal menyatakan bahawa CIA tidak boleh dipercayai kerana membuat kesimpulan tidak berasas.
“CIA tidak semestinya menjadi tahap piawaian tertinggi dalam menentukan sesuatu situasi tersebut,” katanya.
Turki yang juga merupakan bekas ketua perisikan Arab Saudi pernah berkhidmat sebagai Duta ke Amerika Syarikat (AS) memaklumkan kesimpulan yang dibuat oleh agesi itu mengenai Iraq menghasilkan senjata kimia sebelum pencerobohan AS pada 2003 juga tidak boleh diguna pakai.
Katanya, kesimpulan tersebut disifatkan paling tidak tepat dan salah sehingga menyebabkan konflik peperangan di Iraq semakin teruk dengan menyaksikan banyak nyawa tidak bersalah menjadi korban.
“Ini adalah pandangan saya mengenai laporan CIA tentang pembunuhan Jamal di Konsulat Arab Saudi di Istanbul,” ujarnya.
CIA sebelum ini menyimpulkan bahawa Putera Mohammed mengarahkan operasi pembunuhan Jamal dan perkara itu dilaporkan buat pertama kalinya menerusi satu artikel dalam akhbar Washington Post.
Akhbar tempatan Turki juga melaporkan bahawa Ketua Pengarah CIA, Gina Haspel memberi isyarat kepada pegawai-pegawai Turki bahawa agensi berkenaan mempunyai rakaman yang menjelaskan Putera Mohammed memberi arahan supaya membunuh Jamal.
Jamal dibunuh dalam Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu selepas memasuki premis berkenaan untuk mendapatkan dokumen bagi melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya, Hatice Cengiz. – REUTERS











