CIA dakwa Putera Mahkota arah pembunuhan Jamal - Utusan Malaysia

CIA dakwa Putera Mahkota arah pembunuhan Jamal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Agensi Perisikan Pusat (CIA) percaya Putera Mahkota, Mohammed bin Salman telah mengarahkan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi (gambar kecil) di Istanbul, menurut sumber yang berkait rapat dengan siasatan kes itu kelmarin.

Sumber itu berkata, CIA telah memberi taklimat kepada agensi kerajaan Amerika Syarikat (AS) termasuk Kongres dalam peni­lai­an mereka yang bertentangan dengan kenyataan kerajaan Arab Saudi bahawa Putera Mohammed tidak terbabit.

Hasil siasatan CIA yang pertama kali dilaporkan oleh Washington Post adalah merupakan penilaian AS yang pa­ling muktamad iaitu mengaitkan pemerintah de facto dengan pembunuhan itu.

Pejabat White House dan Jabatan Negara enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

“Penilaian itu adalah satu dakwaan palsu,” kata jurucakap Kedutaan Arab Saudi di Washington dalam satu kenya­taan.

“Kita mendengar wujud pelbagai teori tanpa melihat kepada asas utama dalam spekulasi ini,” kata kenyataan itu.

Jamal yang banyak mengkritik kerajaan Arab Saudi dan merupakan kolumnis Washington Post dibunuh di konsulat negara itu di Istanbul pada 2 Oktober lalu ketika dia mahu mengambil dokumen bagi urusan perkahwinan dengan wanita Turki.

Sementara itu, pendakwa raya awam Arab Saudi pada Khamis lalu berkata, pihak berkuasa akan mengenakan hukuman mati terhadap lima suspek yang terlibat dalam pembunuhan itu.

Pendakwa raya, Shalaan al-Shalaan memberitahu pemberita bahawa Putera Mahkota tidak mengetahui mengenai pembunuhan itu yang menyaksikan mayat Jamal dikerat-kerat dan dibawa keluar daripada konsulat.

Bagaimana pegawai siasatan AS mempertikai dakwaan Putera Mohammed tidak mengetahui mengenai pembunuhan Jamal.

Washington Post yang memetik sumber rapat dengan siasatan itu berkata, penilaian CIA berdasarkan panggilan tele­fon abang Putera Mahkota iaitu Putera Khaled bin Salman yang merupakan Duta ke AS dengan Jamal.

Putera Khaled memberitahu Jamal dia perlu pergi ke Konsulat Arab Saudi di Istanbul untuk mendapatkan kembali dokumen dan memberi jaminan mengenai ke­selamatannya, kata Washington Post.

Akhbar itu yang memetik orang yang rapat dengan panggilan itu, mengatakan tidak jelas jika putera tersebut tahu Jamal akan dibunuh tetapi dia membuat panggilan terus kepada abangnya.

Putera itu melalui Twitter pada Jumaat lalu berkata, dia berhubung kali terakhir dengan Jamal melalui mesej pada 26 Oktober 2017 iaitu hampir setahun sebelum dia dibunuh.

“Saya tidak pernah bercakap dengannya melalui telefon dan tidak pernah mencadangkan dia pergi ke Turki atas apa juga sebab. Saya minta kerajaan AS mendedahkan apa juga maklumat mengenai dakwaan itu,” kata Putera Khaled. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN