KUCHING 25 Nov. – Aplikasi dompet elektronik (e-dompet) tempatan, Boost mengambil inisiatif bekerjasama dengan pusat beli-belah premier, Plaza Merdeka di sini semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Christopher Tiffin berkata, pihaknya mempunyai visi bagi membantu pengguna bukan hanya di Malaysia malah Asia Tenggara dalam agenda digital.
Katanya, ketika ini sebanyak 25 peratus kedai di Plaza Merdeka telah bersama Boost.
“Bila anda melihat logo Boost, fikirkan Malaysia kerana begitulah kita di sini.
“Kita mahu mengembangkan sistem e-dompet ini secepat mungkin di Sarawak bukan hanya untuk perniagaan malah kehidupan masyarakat di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Boost di Plaza Merdeka bersempena Perayaan Krismas di sini semalam.
Yang turut hadir, Pembantu Setiausaha Tetap (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Desmond Douglas Jemukan, Pengarah Urusan Plaza Merdeka, Datuk Steve Ng dan isteri, Datin Anriza Cordero serta Pesuruhjaya Majlis Bandaraya Kuching Utara (MBKS), Datuk Wee Hong Seng.
Tambahnya, kerjasama itu membolehkan pengguna menggunakan e-dompet bagi transaksi produk dan perkhidmatan pada kedai yang berdaftar.
Sementara itu, Steve memberitahu, pihaknya dengan semangat kepelbagaian di Sarawak sentiasa menyambut semua perayaan di sini.
“Kami mahu memastikan Plaza Merdeka terus menjadi pusat beli-belah premier di bandar raya ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











