SEREMBAN 27 Nov. – Tiga bekas finalis program realiti TV3, Da’i Pendakwah Nusantara adalah antara 246 graduan yang menerima ijazah sarjana muda dalam Majlis Konvokesyen Ke-16 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai di sini hari ini.
Mereka ialah juara dan naib tahun 2015 iaitu Hamidah Ab. Razak dan Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar serta naib juara bagi tahun 2017, Nur Afiqah Mahmud.
Hamidah menerima Ijazah Sarjana Muda Pengkajian Akidah dan Agama, Ahmad Fuad menerima Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam, manakala Nur Afiqah pula Ijazah Sarjana Muda Kaunseling.
Turut berlangsung pada majlis itu ialah penganugerahan ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah kepada seramai 235 graduan.
Majlis konvokesyen itu disempurnakan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang merupakan Canselor universiti tersebut. – UTUSAN ONLINE










