KUANTAN 17 Nov. -Bantahan pelbagai pihak dan lapisan masyarakat terhadap cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di negara ini membuktikannya adalah satu gerakan massa, bukannya agenda politik.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantahan daripada pelbagai pihak antaranya UMNO, Pas, Bersatu dan Amanah harus dilihat sebagai satu manifestasi rakyat serta tidak memandang ringan mengenainya.
“Bantahan ini merupakan manifestasi ketidakpuasan hati rakyat kerana kita menjunjung kontrak sosial yang dipersetujui sebelum ini. Kita tahu tiada permasalahan timbul terhadap empat perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Situasi politik Malaysia cukup berbeza jika dibandingkan negara-negara yang terlibat. Sebagai contoh permasalahan di Afrika Selatan seperti dasar apartheid tidak berlaku di sini,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perjumpaan Bersama UMNO Pahang di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. – UTUSAN ONLINE










