KUALA LUMPUR 26 Nov. – Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) dijangka meraih pertumbuhan pinjaman sebanyak tujuh hingga lapan peratus pada 2019, lebih rendah berbanding sasaran tahun ini berikutan persekitaran perniagaan yang amat mencabar.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Muazzam Mohamed, bank itu berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran pertumbuhan pinjaman sebanyak lapan peratus pada tahun ini, kebanyakannya dipacu daripada segmen perbankan pengguna.
“Menyedari cabaran pada tahun akan datang, pertumbuhan pinjaman kami dijangka menjadi lebih rendah.
“Walaupun berhadapan dengan persekitaran yang mencabar, infrastruktur jualan sedia ada kami terutama segmen pengguna terus mengukuh bagi menyokong pertumbuhan ini,” katanya selepas majlis penamatan Program Pembangunan Usahawan Kecil dan Sederhana (PKS), yang dibiayai sepenuhnya oleh Bank Islam dengan kerjasama Pusat Kerjasama Universiti Industri (CUIC) Universiti Utara Malaysia baru-baru ini.
Beliau menyatakan untuk 2018, walaupun unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih rendah di bawah lima peratus, segmen pengguna terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi.
“Tanpa segmen pengguna, KDNK mungkin menjadi lebih rendah. Sebanyak 75 peratus perniagaan Bank Islam bergantung kepada perbankan pengguna dan ditunjangi oleh pertumbuhan segmen ini, kami sekali lagi yakin akan mencapai pertumbuhan tujuh hingga lapan peratus pada tahun depan,” kata Muazzam.
Beliau ketika bercakap mengenai Program Pembangunan PKS berkata, ia merupakan satu pelaburan yang dibuat oleh bank itu bagi membantu usahawan mewujudkan peluang pekerjaan serta ekonomi dengan menyediakan akses kepada perkhidmatan sokongan perniagaan, latihan, pendidikan dan kewangan.
Seramai 33 graduan PKS telah menamatkan program selama tujuh minggu ini.
Menurut beliau, sejak penubuhan Bahagian Perbankan PKS pada 1 Januari 2018, Bank Islam mengambil satu langkah tambahan bagi membantu perkembangan PKS, yang kemudiannya, akan mengukuhkan ekonomi sebenar dan akhirnya menyumbang kepada daya tahan ekonomi negara.
Setakat ini, jumlah pembiayaan Bank Islam kepada PKS sudah mencecah RM2.3 bilion termasuk pelanggan PKS daripada Perbankan Komersial dan Perbankan PKS, yang merupakan kira-kira lima peratus daripada jumlah pembiayaan aset.
Jelas Muazzam, Bahagian PKS akan terus menjadi antara bidang-bidang pertumbuhan bank berkenaan walaupun berhadapan dengan persekitaran yang mencabar, bank menyasarkan pertumbuhan pembiayaan kira-kira RM200 juta bagi segmen tersebut pada tahun depan.– BERNAMA










