PEKAN 26 Nov. – Golongan ibu dan bapa diminta mengawasi pergerakan anak mereka supaya tidak bermain di tepi sungai, kolam serta longkang besar ketika musim tengkujuh ini.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, malang tidak berbau dan sebarang kejadian tidak diingini boleh berlaku.
“Saya menasihatkan golongan ibu bapa pada musim banjir ini mengawasi pergerakan anak-anak mereka supaya tidak bermain di tepi sungai, kolam dan longkang besar.
“Selain anak-anak, golongan yang lebih tua juga perlu dipantau,” titah baginda selepas berkenan melawat rumah dilanda ribut di Kampung Pasir Panjang, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Seri Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali.
Selain meninjau rumah yang rosak dilanda ribut, Tengku Abdullah turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 13 mangsa di Kampung Pasir Panjang dan Ketapang Hilir.










