Industri seni kini semakin meriah dengan penghargaan berbentuk pingat Datuk yang diterima oleh para penggiatnya. Pengurniaan pingat tersebut membuktikan kerja keras anak seni mendapat perhatian dan layak diberi pengiktirafan sewajarnya.
Dan jika dinilai dari segi pencapaian dan sumbangan, ramai berpendapat Ella atau Nor Zila Aminuddin tidak boleh dikecualikan daripada menerima anugerah tersebut.
Namun Ratu Rock yang mula aktif menyanyi sejak 1983 ini sedar akan rezeki pemberian Tuhan itu. Justeru, perihal pingat tersebut sama sekali tidak pernah mengganggu fikirannya.
Bagi Ella, mungkin sekarang ini bukan rezekinya untuk memikul anugerah tersebut. Pun begitu, sekiranya ada pihak yang ingin memberikan pingat itu kepadanya suatu hari kelak, dia pasti tidak menolak dan menerimanya dengan hati terbuka.
Buat masa ini, penyanyi lagu popular Standing In The Eyes Of The World mengakui, jolokan sebagai Ratu Rock Malaysia yang diberikan kepadanya setiap kali dia menghadiri majlis dan acara anugerah sudah cukup membangga dan menggembirakan hatinya.
Jelas Ella, pengiktirafan sebenar untuk dirinya adalah tatkala peminat sentiasa menghargai hasil karya terbaik yang diusahakan olehnya selama ini.
“Soal pingat Datuk tidak pernah saya fikirkan. Anugerah itu adalah satu rezeki dan jika Tuhan belum mengizinkan, tidak mungkin saya akan memperolehinya.
“Sekiranya ada pihak yang ingin memberikan pingat tersebut, saya bersyukur dan menerimanya dengan hati terbuka. Saya percaya, kalau Tuhan mahu berikan saya rezeki itu nanti, tiada siapa yang dapat menghalangnya.
“Sebenarnya bagi saya, pengiktirafan yang tertinggi adalah daripada peminat yang tidak pernah lelah menyokong kerjaya saya. Saya amat bangga dan puas hati apabila mereka sentiasa menghargai karya saya.
“Gelaran Ratu Rock Malaysia juga sudah cukup memuaskan hati saya. Setiap kali saya menghadiri sebarang majlis dan dipanggil sebagai Ratu Rock, gelaran tersebut sangat besar untuk saya. Gelaran itu bukan mudah untuk mereka berikan dan juga tidak mudah untuk dipikul.
“Oleh itu, saya sentiasa berusaha menghasilkan karya terbaik untuk peminat agar pengiktirafan yang saya peroleh daripada mereka tidak sia-sia,” jelas Ella ketika ditemui pada majlis The BrandLaureate Brand Icon Leadership Awards 2018, Isnin lalu.
Pada majlis berprestij tersebut, Ella menerima anugerah The BrandLaureate Icon Celebrity 2018.
Anugerah tersebut mengiktiraf Ella atas pencapaiannya dalam industri muzik tempatan serta kejayaan membina jenama sebagai ikon rock wanita tersohor.
Berkongsi rasa Ella berkata: “Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak penganjur kerana memberi pengiktirafan sebesar ini.
“Saya dedikasikan anugerah ini kepada semua pihak yang pernah terlibat sepanjang kerjaya seni saya.
“Tanpa bantuan mereka serta sokongan peminat, tidak mungkin saya dapat menaikkan jenama Ella dalam industri muzik selama lebih tiga dekad.”
Selain Ella, penyanyi Anuar Zain dan Papa Rock, Datuk Ramli Sarip turut menerima anugerah yang sama.
Kongsi rahsia kebahagiaan
Keluar daripada topik kerjaya, Ella yang setia ditemani suami tercinta, Azhar Husaini Ghazali tidak lokek berkongsi perihal rumah tangga mereka.
Lebih enam tahun melayari hidup bersama, Ella dan Azhar mengakui, komunikasi adalah kunci kebahagiaan mahligai cinta mereka.
Menurut Azhar, dia sentiasa terbuka menerima pendapat Ella biarpun adakalanya jawapan yang diberikan tidak seperti yang diharapkan.
“Tidak sukar untuk mencipta kebahagiaan dalam rumah tangga sekiranya kita bijak memberi perhatian terhadap pasangan dan sentiasa berkomunikasi. Kami tidak membataskan komunikasi dan boleh bercerita tentang apa sahaja.
“Contohnya saya selalu meminta pendapat dia berkaitan kerja saya dan dia sentiasa memberikan respons yang baik walaupun bukan seperti yang saya harapkan.
“Saya terima apa sahaja pendapat dia kerana itu adalah kata-kata ikhlas seorang isteri,” jelas Azhar yang bekerjasama dengan Ella menerusi album baharunya, Peace. Love. Rindu.
Malar segar
Tahun ini genap 33 tahun Ella mencipta populariti. Dalam tempoh tersebut, nama Ella sentiasa gemilang meskipun muncul ramai penyanyi wanita yang tidak kurang hebatnya.
Sepanjang meniti perjalanan sebagai anak seni, Ella mengakui, masih belum puas menghasilkan karya terbaik untuk disajikan kepada peminat.
Justeru saat ditanya apa lagi yang Ella mahu lakukan dalam industri, tanpa fikir panjang anak kelahiran Gelugor, Pulau Pinang ini menjelaskan bahawa dia ingin terus menghadiahkan peminatnya dengan lagu-lagu bermutu dan malar segar.
“Sebagai anak seni, tiada yang mahu saya lakukan selain daripada menyanyi dan menghiburkan peminat.
“Walaupun sudah 33 tahun, saya masih ingin terus menghasil dan menyanyikan lagu yang bermutu tinggi, sedap didengar dan pastinya malar segar.
“Ciri-ciri itulah yang saya dan rakan penyanyi lain lakukan sejak dahulu dan terbukti mampu membuatkan nama kami terpahat teguh dalam industri,” jelasnya.










