KUALA LUMPUR 18 Nov. – Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran meminta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tidak mencari publisiti murahan berikutan dakwaan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran melanggar peraturan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau berkata, Anthony menggunakan taktik murahan untuk memburukkan imej Vigneswaran apabila menuduh beliau dengan sengaja melanggar protokol keselamatan termasuk memakai selipar dan tidak mematuhi kod etika berpakaian, menengking kakitangan lapangan terbang serta masuk ke bilik VIP tanpa pas keselamatan.
“Saya tidak melihat apakah tujuan dakwaan ini. Apa yang Anthony cuba buktikan? Seorang menteri kanan menggunakan taktik murahan terhadap orang kenamaan (VIP) yang memakai selipar untuk sekadar publisiti murahan kerana pihak yang dituduh adalah pemimpin parti pembangkang.
“Sebagai pelanggan, beliau mempunyai kebebasan untuk memakai apa yang beliau mahu. Bukankah ini apa yang pemimpin Pakatan Harapan ketengahkan sebelum pilihan raya umum baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Anthony mengenai Vigneswaran telah melanggar peraturan keselamatan di KLIA pada 14 November lalu.
Sivarraajh turut mempersoalkan rakaman video digunakan sebagai asas dakwaan Anthony yang menunjukkan Vigneswaran tidak ditahan oleh pegawai keselamatan KLIA ketika berlakunya kejadian itu.
“Saya turut menonton rakaman video yang Anthony gunakan untuk menyokong dakwaannya itu dan rakaman video jelas menunjukkan tiada seorang pegawai keselamatan pun menahannya kerana tidak memiliki pas keselamatan. Kenapa tiada seorang pun menahan beliau (Vigneswaran) jika beliau melanggar peraturan?” soalnya. – UTUSAN ONLINE










