Anggota polis ditahan dalam serbuan air ketum - Utusan Malaysia

Anggota polis ditahan dalam serbuan air ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Tiga anggota polis antara yang ditahan dalam satu serbuan air ketum dan ubat batuk di Taman Desa Petaling di sini malam semalam.

Polis turut menahan empat lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 42 tahun dalam serbuan yang sama ketika mereka sedang berkumpul di sebuah pondok membaiki kasut kira-kira pukul 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, ketiga-tiga anggota polis tersebut bertugas di Balai Polis Salak Selatan di sini.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 24 hingga 54 tahun.

“Menerusi serbuan yang diketuai oleh Ketua Balai Polis Salak Selatan itu, polis turut merampas 26 botol seberat 1.5 mililiter setiap satunya yang berisi cecair disyaki air ketum dan disimpan di dalam sebuah tong polisterin. Turut dirampas adalah satu kotak berisi 51 botol berisi cecair disyaki ubat batuk jenis Cynadryl Syrup dan jumlah kesemua rampasan bernilai RM1200,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Mohamed Mokhsein menambah, ujian air kencing untuk kesemua suspek adalah negatif dan mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau jenayah.

“Lima suspek orang awam direman selama tiga hari manakala tiga anggota polis direman selama sehari bermula hari ini  untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memiliki ubat batuk yang dilarang dan memiliki air ketum,” ujarnya.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah di kawasan kediaman melalui balai polis yang berhampiran. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN